KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) masih belum memuktamadkan representasi ketiga Datin Seri Rosmah Mansor bagi menggugurkan 12 pertuduhan kes pengubahan wang haram berjumlah RM7.09 juta dan lima kesalahan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memaklumkan, representasi itu kini berada di peringkat akhir penelitian dan pihaknya memerlukan sedikit masa untuk memutuskannya.
Menurut beliau, kes itu melibatkan isu cukai pendapatan dan pihaknya perlu melakukan beberapa prosedur termasuk pengesahan LHDN sebelum memuktamadkan representasi berkenaan.
Rosmah, 72, menghantar representasi ketiga pada 12 Disember 2023 selepas representasi pertama dan kedua dikemukakan pada 3 Mei dan 18 Ogos 2023 masih belum diputuskan oleh AGC.
Sehubungan itu, Hakim K. Muniandy menetapkan tarikh 11 Oktober ini bagi menyambung penghujahan permohonan Rosmah untuk menggugurkan pertuduhan terhadapnya.
“Kes ini tahun 2018, mahkamah akan meneruskan pendengaran permohonan Rosmah untuk menggugurkan pertuduhan terhadapnya. Saya akan buat keputusan selepas mendengar penghujahan kedua-dua pihak,” ujar beliau.
Terdahulu, peguam Joshua Tay memaklumkan hari ini untuk sebutan bagi status perkembangan representasi isteri bekas Perdana Menteri.
Ketika kes disebut pada 23 Ogos lalu, peguam Rosmah, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin memberitahu, satu persetujuan dicapai berhubung representasi yang dihantar oleh anak guamnya dan kini menunggu kertas kerja untuk dimuktamadkan.
Ahmad Akram Gharib memberi maklum balas dan mengesahkan representasi itu sudah hampir dimuktamadkan dan hanya menunggu dokumentasi sebelum diteruskan dengan perintah mahkamah.- KOSMO! ONLINE