fbpx

Ibu bapa perlu ajar sentuhan tidak selamat, elak ‘child grooming’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video Alpha Zaki berkongsikan tentang 'child grooming' yang dimuat naik di akaun TikToknya, malam tadi.

PETALING JAYA – Ibu bapa perlu memberi pendidikan tentang sentuhan selamat atau tidak agar anak-anak dapat dielakkan daripada perbuatan ‘child grooming’ (pengantungan seksual).

Menurut doktor perubatan, Dr. Alpha Zaki, ‘child grooming’ tidak sama seperti jenayah biasa namun mengambil masa berbulan-bulan malah bertahun untuk pemangsa dapat apa yang dimahukan.

Ujarnya yang juga seorang pempengaruh TikTok, kebanyakan pelaku kebiasaannya dikenali oleh mangsa seperti ayah, adik-beradik, pak cik, atuk, sepupu serta mereka yang mudah untuk mendekati kanak-kanak seperti cikgu atau pemandu bas.

“Mak ayah atau penjaga perlu ajar anak sentuhan yang selamat dan sentuhan yang tak selamat. Tempat apa boleh pegang, tempat apa yang tak boleh pegang.

“Tempat yang wajib tak boleh pegang, bibir, dada, punggung, kemaluan. Ajar anak tu tak kisahlah lelaki ke perempuan, sebab kalau benda nak jadi bukan pada perempuan sahaja,” katanya dalam hantaran di TikTok.

Tambah Alpha Zaki, jika berlakunya sentuhan tidak selamat, ia adalah sesuatu yang ‘alarming’ dan boleh jadi penyebab terjadinya ‘child grooming’ atau ‘child abuse’ (penderaan kanak-kanak).

Dalam pada itu, Alpha Zaki turut berkongsi ciri-ciri bagi mengenalpasti jika anak-anak menjadi mangsa ‘child grooming’ iaitu salah satunya perubahan tingkah laku daripada seorang periang atau ceria bertukar menjadi pendiam serta banyak mengasingkan diri.

“Kedua, tengok prestasi akademik. Contohnya kalau dulu seorang yang ‘top scorer’ tak ada gagal pun, tiba-tiba sekarang asyik gagal je. Kena tengok, mesti ada sesuatu yang menganggu pemikiran untuk fokus belajar dan peperiksaan.

“Ketiga, contohnya dia ada mengadu sakit dekat bahagian-bahagian tertentu,” jelasnya.

Terdahulu, seorang pemandu bas sekolah kerap memuat naik video kanak-kanak di media sosial sehingga mengundang kecaman dan kerisauan dalam kalangan orang ramai.

Di dalam kesemua videonya, bukan sahaja pemandu bas itu sering merakam gelagat murid-murid sekolah di dalam kenderaannya malah dia juga turut merakam sentuhan yang dilakukan terhadap kanak-kanak itu.

Susulan itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri sudah mengarahkan Jabatan Pembangunan Kanak-kanak untuk membuat laporan polis dengan segera selain bekerjasama dengan D11 IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) Johor.

Berkongsi lanjut, Alpha Zaki berkata seseorang pedofilia dapat dikesan jika sering mendekatkan diri dengan mangsa atau menarik mangsa untuk dekatkan diri dengannya.

Jelasnya lagi, seseorang pedofilia juga akan mendapatkan kepercayaan mangsa tidak kira apa cara sekalipun seperti beri mainan, gula atau hadiah.

“Ketiga dia memegang mangsa dengan benda-benda tak sepatutnya. Contohnya main-main dengan bibir mangsa sambil kata comelnya bibir awak.

“Bila budak tu dah percaya, maka dia akan serahkan segalanya dan anggap itu adalah salah satu cara untuk tunjukkan kasih sayang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI