KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan meneruskan kerjasama dengan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dalam usaha melonjak pertumbuhan kedua-dua syarikat berdasarkan persefahaman dan kekuatan masing-masing.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, pihaknya mahu membina kerjasama strategik yang ‘menang-menang’ antara kedua-dua syarikat itu.
“Kini masih berlangsung perbincangan antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat. Peranan Petronas bukan sahaja kepada syarikat tetapi juga kepada negara selama 50 tahun ini.
“Kami sentiasa bertindak demi kepentingan negara dan maka, saya rundingan ini tidak boleh dilakukan sewenang-wenang tanpa mengambil kira implikasi kepada negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Pengumuman Keputusan Separuh Pertama 2024 Petronas di sini, hari ini.
Dalam itu, katanya, Petronas mempunyai mandat di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 untuk memastikan sektor hiliran negara kekal rancak.
“Tugas Petronas adalah untuk memaksimumkan nilai sumber hidrokarbon Malaysia dan menyumbang semula kepada negara serta meneruskan mandat yang diamanahkan.
“Kami mempunyai perkongsian yang lama. Saya tidak akan memanggilnya kontrak. Ini adalah perkongsian dengan pasaran yang bergantung kepada kami untuk bekalan yang stabil dan selamat,” ujarnya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai sama ada dividen kepada kerajaan akan terjejas kesan daripada rundingan tersebut, beliau berkata, jika berlaku perubahan dalam susunan pentadbiran, ia akan memberi kesan kepada pendapatan.
“Pada pandangan saya, implikasi setakat ini bergantung kepada keputusan rundingan yang masih berlangsung,” katanya. – KOSMO! ONLINE