PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengesahkan memberi kebenaran kepada Perbadanan Putrajaya (PPj) untuk aktiviti latihan terjunan base di bangunannya, petang semalam.
Unit Komunikasi Korporatnya menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata, pihak PPj telah mengemukakan permohonan kepada pihak kementerian dan kebenaran diberikan berdasarkan kepada syarat-syarat yang dipersetujui kedua-dua pihak.
“KPWKM dan PPj juga telah mengambil langkah keselamatan mengikut prosedur ditetapkan seperti menyediakan pasukan keselamatan dan kecemasan di lokasi penganjuran,” katanya.
Katanya, terjunan base adalah satu acara sukan ekstrem yang diadakan di bangunan KPWKM setiap tahun dan penganjuran Putrajaya Base Jump (PBJ) telah berjaya menarik penyertaan penerjun profesional termasuk daripada luar negara.
Menurutnya, KPWKM bersimpati dengan keluarga salah seorang penerjun yang maut ketika melakukan latihan terjunan dari bangunan KPWKM semalam.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun turut menyampaikan salam takziah kepada waris keluarga arwah Azuan Taharudin menerusi perkongsian di laman Facebook, hari ini.
“Salam takziah saya ucapkan kepada ahli keluarga Allahyarham Azuan Taharudin yang meninggal dunia ketika melakukan latihan payung terjun di bangunan KPWKM pada petang semalam.
“Semoga amalan baik Allahyarham diterima Allah S.W.T dan rohnya ditempatkan bersama orang yang beriman serta beramal soleh,” katanya. – K! ONLINE