fbpx

1,388 ditahan ingkar SOP PKP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri

PETALING JAYA – Seramai 1,388 individu telah ditahan menerusi Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) setelah didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 1,352 telah dikenakan kompaun manakala 32 individu direman dan empat lagi telah dibenarkan jamin.

“Setakat semalam, sebanyak 48,316 pemeriksaan dilakukan bagi mengesan mereka yang ingkar arahan SOP PKP dan menerusi operasi ini juga, sebanyak 3,371 pasar raya; 4,465 restoran serta 1,711 penjaja; 1,384 kilang; 3,251 bank dan 461 pejabat kerajaan telah dipantau.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP yang dikesan adalah aktiviti pusat hiburan (623), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (424), tidak memakai pelitup muka (137), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (118) dan lain-lain (86),” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, seramai 95 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) turut berjaya ditahan menerusi Ops Benteng yang melibatkan kerjasama PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (Aksem).

“Sebanyak 105 sekatan jalan raya (SJR) telah dilakukan semalam iaitu Ops Penawar (ATM, PDRM dan Rela) iaitu 41 SJR, Ops Benteng PDRM (55 SJR) dan Ops Benteng Aksem (9 SJR).

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” tegas beliau.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri menjelaskan, sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 96,312 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 76 hotel dan 16 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 7,547 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 540 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan dan 88,225 individu lagi telah dibenarkan pulang.

“Kesemua mereka ini pulang dari 36 negara antaranya Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Laos, Qatar, Pakistan dan Arab Saudi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI