ALOR GAJAH – Seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas sembilan pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua anak kandungnya sejak 2018.
Tertuduh yang berusia 39 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Syazana Abd. Lajis.
Lelaki itu didakwa melakukan sumbang mahram ke atas anak sulung dan bongsunya berusia 16 dan 13 tahun. Dia berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan maksimum 10 sebatan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.
Tertuduh turut didakwa atas empat pertuduhan melakukan hubungan seks dengan objek ke atas mangsa sama. Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 30 tahun serta sebatan di bawah Seksyen 377CA Kanun Keseksaan.
Bapa tiga anak itu turut didakwa atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama dan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Mengikut pertuduhan terakhir, tertuduh didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap anak bongsunya. Semua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah antara pertengahan November 2018 dan Ogos 2024.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa dan melapor diri di balai polis berhampiran dua minggu sekali.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 bagi setiap pertuduhan dan bersetuju dengan syarat tambahan yang dipohon pendakwaan. – KOSMO! ONLINE