PETALING JAYA – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu tidak pernah mengeluarkan kenyataan meminta golongan pesawah supaya berjimat cermat menggunakan baja bagi membantu kerajaan.
Pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, poster bertulis ‘Pesawah diminta berjimat cermat menggunakan baja bagi membantu kerajaan’ yang ditularkan di media sosial tersebut adalah palsu.
“Pejabat Menteri ingin mengesahkan bahawa tangkap layar yang dibuat adalah palsu.
“Laporan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah dibuat hari ini,” kata Pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menurut kenyataan tersebut, laporan MCMC dibuat bagi membolehkan siasatan dan tindakan yang sewajarnya dikenakan kepada pihak yang membuat hantaran palsu dan tidak benar berkenaan. – KOSMO! ONLINE