ATLET olahraga para negara, Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi hampir melakukan kejutan apabila mengakhiri saingan final 400 meter (m) lelaki T20 (kecacatan intelektual) pada Sukan Paralimpik Paris 2024 di tempat keempat dengan catatan 48.30 saat (s).
Peluang Ammar merangkul kilauan pingat gangsa berakhir kecewa apabila pecutan pelari Mauritius, Philip Yongvani dalam 10m terakhir berjaya memintasnya untuk menyambar gangsa pada aksi di Stade de France itu awal pagi semalam.
Atlet berusia 21 tahun itu memulakan larian dengan baik apabila berada dalam kelompok tiga terbaik sebelum Yongvani yang mencatat masa 48.30s, menolak Ammar ke kedudukan keempat menerusi penentuan photo finish.
“Persembahan tadi sangat menyedihkan bagi saya. Namun, saya telah berusaha sebaik mungkin untuk rakyat Malaysia dan keluarga saya.
“Saya akan terus mencuba yang terbaik di Paralimpik Los Angeles 2028 nanti. Terima kasih kepada semua yang menyokong saya dari jauh, saya amat menghargai sokongan anda,” kata Ammar.
Meskipun tidak menaiki podium, namun larian mantap atlet kelahiran Johor itu menyaksikannya mampu bersaing dengan pelumba-pelumba elit lain apabila berjaya mengatasi dua wakil Brazil, Daniel Tavares Martins dan Samuel Oliveira Conceicao.
Martins memegang rekod Paralimpik sementara Conceicao adalah pemegang catatan dunia tetapi masing-masing sekadar mengakhiri perlumbaan di tempat kelima serta ketujuh.
Pingat emas menjadi milik atlet Colombia, Jhon Obando dengan masa 48.09s, manakala perak dimenangi David Pineda dari Sepanyol menerusi catatan 48.24s.