LISBON – Semangat cintakan negara masih menebal dalam diri pemenang lima kali anugerah Ballon d’Or, Cristiano Ronaldo untuk terus menabur bakti bersama Portugal menjelang aksi Liga Negara-Negara Eropah.
Penyerang Al-Nassr itu berkata, masih banyak sasaran yang belum dicapai bersama Selecao dan langsung tidak terfikir untuk menggantung but biarpun sudah dianggap sebagai ‘kuda tua’ pada usia 39 tahun.
Walaupun berdepan banyak kritikan berhubung aksi yang semakin hambar bersama pasukan negara, namun Ronaldo langsung tidak menghiraukan perkara tersebut memandangkan matlamatnya hanyalah membantu Portugal.
“Saya tidak terfikir untuk meninggalkan pasukan negara walaupun ada mendengar pelbagai kata-kata negatif. Saya akan terus menyarung jersi Portugal selagi saya mampu untuk mengekalkan keadaan fizikal.
“Bagi saya, orang terlalu meletakkan harapan tinggi kepada Portugal. Secara jujur, situasi ini sebenarnya tidak bagus dan mampu menghalang perkembangan pemain-pemain muda,” katanya yang masih menerima sokongan ketua jurulatih, Roberto Martinez.
Pada saingan Kumpulan A Liga Negara-Negara Eropah yang berlangsung minggu ini, Portugal akan beraksi menentang Croatia di Estadio da Luz, Lisbon awal pagi esok sebelum membuat perhitungan dengan Scotland di venue sama tiga hari kemudian.
Dalam pada itu, Ronaldo juga memberi jaminan bahawa dia sedia mengumumkan persaraan di pentas antarabangsa apabila sudah tiba masanya selain menganggap ia bukanlah satu perkara sukar.
“Apabila tiba masanya dan rasakan diri tidak mampu menyumbang apa-apa, saya orang pertama yang akan meninggalkan pasukan. Bagi saya, ia bukanlah satu keputusan yang sukar untuk dibuat,” ujarnya. – AGENSI