fbpx

K2

Tembikai buah syurga dan hapuskan keburukan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIDAK ada satu pun hadis yang menceritakan berkenaan kelebihan makan tembikai.

Saya ada terlihat satu video yang menerangkan bahawa buah tembikai ini digalakkan untuk makan kerana air dan manisnya langsung dari syurga Allah SWT. Betulkah sesiapa yang memakannya akan mendapat 10 kebaikan dan dihapuskan 10 keburukan?

Jawapan: Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua.

Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkah Baginda SAW sehingga hari kiamat.

Kecintaan kepada Nabi SAW adalah suatu sikap yang mulia dan wajib ada dalam diri seluruh umat Islam. Namun, janganlah kotori rasa cinta itu dengan pendustaan ke atas nama Baginda SAW melalui sebaran hadis-hadis palsu bagi menggalakkan umat Islam beramal.

Terkait persoalan yang ditanya, adakah benar air dan manis buah tembikai itu datang dari syurga?

Bahkan, mereka yang memakannya akan diganjari 10 kebaikan dan dihapuskan 10 keburukan?

Persoalan ini timbul kerana tular satu video yang menceritakan tentang kelebihan buah tembikai yang disandarkan kepada Nabi SAW.

Dalam hal ini, Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah menukilkan kalam Imam Ahmad bin Hanbal yang menyebut: “Tidak ada satu pun hadis sahih yang menceritakan berkenaan kelebihan tembikai melainkan Rasulullah SAW pernah memakannya.”

Hadis sahih yang dimaksudkan itu diriwayat oleh Aisyah RA yang meriwayatkan bahawa: “Nabi SAW pernah memakan buah tembikai bersama kurma basah.” (Riwayat al-Tirmizi)

Menurut sebahagian ulama, Nabi SAW menggabungkan dua jenis atas sebab tujuan tertentu.

Jika dilihat kepada sifat dua buah ini, maka didapati bahawa tembikai sifatnya sejuk dan kurma basah sifatnya panas.

Jika dimakan secara bersama, maka ia dapat menghasilkan satu pemakanan seimbang.

Oleh itu, Imam al-Bajuri menyebutkan ketika menghuraikan hadis ini, kata beliau: “Perkara ini menunjukkan bahawa Nabi SAW memberikan perhatian terhadap pemakanannya dan ciri-ciri makanan serta menyesuaikan pemakanannya dengan aspek perubatan.”

Kesimpulannya, tidak ada satu pun hadis sahih yang menceritakan tentang kelebihan memakan buah tembikai melainkan terdapat satu hadis yang menceritakan bahawa Nabi SAW gemar memakan tembikai bersama kurma basah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI