JAKARTA – Seorang petani di Jogjakarta mengundang perhatian pengguna media sosial kerana menggunakan aplikasi Google Assistant untuk menyiram tanamannya, lapor portal berita Tempo semalam.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform X oleh akaun @txtfromjogja, lelaki itu dilihat ‘bercakap’ dengan telefon pintarnya.
“Baik Google, hidupkan paip,” kata petani itu.
Selepas mesej suara itu dihantar, paip yang dipasang di setiap tanaman menyemburkan air secara automatik.
Ciptaan inovasi itu membolehkan dia mengawal kekerapan siraman air melalui arahan yang diberikan, tanpa mengeluarkan tenaga dan mengambil masa yang panjang.
Rakaman itu menjadi tular dan meraih lebih 956,000 tontonan. Rata-rata netizen terpegun dengan kemahiran petani tersebut.
“Ini petani moden. Cara yang tepat untuk memanfaatkan teknologi,” kata seorang netizen.
“Semoga dapat menjadi contoh kepada petani-petani lain,” kata netizen lain. – AGENSI