PUTRAJAYA – Perbadanan Putrajaya (PPj) mengesahkan semua aspek keselamatan termasuk faktor cuaca telah diambil kira bagi aktiviti latihan terjunan base yang dianjurkan petang semalam.
Pengarah Bahagian Komunikasi Korporatnya, Tengku Aina Tengku Ismail Shah berkata, penanda arah angin telah diletakkan di atas bangunan dan kawasan pendaratan.
Beliau berkata, hasil penelitian kepada arah dan kekuatan angin juga menunjukkan keadaan adalah selamat untuk melakukan terjunan.
“Sesi latihan itu juga telah mendapat kebenaran penggunaan ruang daripada pengurus bangunan terbabit serta PPj selaku penganjur dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Selain itu, kami juga sudah memaklumkan kepada Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) malah, pasukan itu turut berada di lokasi latihan sebagai pasukan teknikal dan penyelamat,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, ketika kejadian, mangsa, Allahyarham Azuan Taharudin, 49, adalah penerjun terakhir daripada lima penerjun pada sesi latihan terjunan itu.
Menurutnya, ketika terjunan, payung terjun arwah terbuka dan secara tiba-tiba kelihatan hilang kawalan lalu menyebabkan arwah terlanggar cermin bangunan beberapa kali sebelum terjatuh di tempat kejadian.
Sementara itu, Tengku Aina berkata, arwah mempunyai pengalaman lebih 18 tahun dalam sukan payung terjun dan 12 tahun dalam terjunan base selain pernah melakukan 500 kali terjunan dari kapal dan lebih 300 kali terjunan base.
“Arwah banyak terbabit dalam acara terjunan di Putrajaya seperti Terjunan Kibaran Jalur Gemilang ke-62, Terjunan Jubli Perak 25 tahun Putrajaya, Putrajaya International Hot Air Balloon dan Putrajaya Base Jump 2020.
“Kami warga PPj merakamkan ucapan takziah kepada keluarga arwah,” katanya.
Beliau berkata, latihan terjunan base yang dijadualkan pada 1 hingga 3 Januari ini adalah persiapan pasukan dalam acara Putrajaya Base Jump 2021 (PBJ2021) sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang bakal diadakan pada 1 Februari depan. – K! ONLINE