PETALING JAYA – Peniaga di medan selera Bandar Sri Permaisuri, Cheras buntu apabila penduduk sekitar menggunakan kawasan tempat letak kereta medan selera tersebut sebagai parkir persendirian.
Melalui perkongsian di aplikasi X, tindakan penduduk itu menyebabkan pelanggan medan selera terbabit sukar untuk meletakkan kenderaan sekali gus menjadi punca kekurangan pelanggan.
“Kejadian dekat Food Court Bandar Sri Permaisuri. Customer (pelanggan) nak datang makan sini parking tak ada.
“Sebab penduduk flat, apartment parking kawasan food court. Memang marahlah kedai-kedai makan sini,” katanya.
Turut dikongsi ialah gambar serta video memaparkan beberapa keping nota ditampal pada kenderaan-kenderaan yang menggunakan tempat letak kereta tersebut.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna tidak menafikan kepayahan mendapatkan tempat letak kenderaan ketika berkunjung di medan selera terbabit.
“Ya, sini susah sangat nak dapat parkir. Kena buat parkir berbayar semalaman RM30,” kata Poksu.
“Kasihan peniaga di sini. Memang betul, aku pun dah lama tak datang sini sebab susah sangat nak dapat parkir,” kata Iqa.
“Bukan dekat sini saja jadi begini. Cuba pergi UTC Sentul, kereta parkir sehingga di lampu isyarat tetapi tiada tindakan diambil,” kata Ravin.- KOSMO! ONLINE