PETALING JAYA – Dengan hanya sekali lafaz, pelakon dan penyanyi Ayda Jebat sah bergelar isteri Nabil Mahir semalam.
Pasangan itu selamat dinikahkan di Masjid Al-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur sekitar pukul 3.28 petang.
Ayda yang popular menerusi lagu Temberang dinikahkan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ustaz Rozimi Zamri.
Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 29, menerima seutas rantai emas berlian sebagai mas kahwin daripada Nabil.
Pada majlis yang hanya dihadiri kaum keluarga terdekat kedua-dua mempelai tersebut, Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad Mahir, 33, menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas sembilan dulang daripada pihak perempuan.
Bagaimanapun, jumlah wang hantaran dirahsiakan atas permintaan keluarga.
“Alhamdulillah, walaupun kini kita berada dalam norma baharu, syukur majlis pernikahan kami berjalan dengan lancar seperti yang dirancang.
“Di sebalik pandemik Covid-19 yang membataskan banyak perkara, kami memilih untuk melangsungkan yang wajib dulu. Terima kasih buat semua yang mendoakan,” kata Ayda.
Menurut Ayda, dia sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai isteri dan tidak menolak rezeki jika ditakdirkan menimang cahaya mata dalam waktu terdekat.
“Ini adalah perkara baharu dalam hidup kami sebagai suami isteri. Saya dan Nabil percaya akan ada banyak dugaan serta cabaran yang bakal ditempuh.
“Jujurnya, kami sudah lama impikan saat ini dan juga sudah bersedia untuk menimang zuriat secepat mungkin, insya-Allah,” katanya yang tetap meneruskan kerjaya seni seperti biasa selepas ini.
Terdahulu pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 28 April lalu menerusi aplikasi Google Meet bagi mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan. – K! ONLINE