HULU TERENGGANU – Seorang warga emas yang sedang berjalan kaki maut selepas dirempuh sebuah motosikal ditunggangi seorang pemuda sekampung di Kilometer14, Jalan Kuala Berang-Sekayu-Belukar Bukit berhampiran Kampung Padang Setar, Sekayu di sini semalam.
Mangsa, Ahmad Taib, 84, yang cedera parah di bahagian kepala telah meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu pada pukul 11.28 malam.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, penunggang motosikal berusia 26 tahun pula mengalami cedera ringan.
Beliau berkata, kejadian berlaku di hadapan sebuah padang di Kampung Padang Setar, Sekayu pada pukul 12.45 tengah hari.
“Sewaktu kejadian, penunggang motosikal jenis Honda EX5 yang bekerja sebagai pembantu kedai perkakasan dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari arah Kampung Sekayu.
“Dia kemudiannya tidak dapat mengelak mangsa yang dikatakan berjalan kaki di laluan kanan kampung itu,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Adli berkata, Ahmad yang cedera parah telah dikejarkan Unit Kecemasan Hospital Hulu Terengganu di sini sebelum dipindahkan ke HSNZ setelah keadaannya semakin serius. – K! ONLINE