fbpx

Tak boleh paksa, tunggu Wooi Yik pulih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WOOI Yik masih belum pulih daripada kecederaan retak jari kaki sewaktu Olimpik Paris. - AFP

PEMAIN beregu lelaki No. 1 negara, Aaron Chia berharap gandingannya, Soh Wooi Yik diberikan masa untuk pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami ketika ini sebelum kembali ke dalam gelanggang.

Biarpun berisiko terlepas kelayakan ke Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir BWF (Persekutuan Badminton Dunia) di Hangzhou, China pada Disember depan, namun Aaron menegaskan, kondisi fizikal Wooi Yik lebih penting.

Justeru, dia bersedia untuk memberikan segala-galanya sebaik sahaja Wooi Yik pulih daripada kecederaan bagi mengejar kelayakan itu dengan berada dalam kelompok lapan terbaik ranking Jelajah Dunia BWF.

Pada ketika ini, pemenang dua pingat gangsa Sukan Olimpik itu menghuni tangga kesembilan dengan kemungkinan kedudukan berkenaan semakin menjunam sekiranya tidak menyertai beberapa kejohanan terdekat.

“Sepatutnya memang ada (menyertai) Terbuka Hong Kong dan Terbuka China tetapi kena tengok situasi Wooi Yik dahulu. Kami sudah berbincang tetapi tidak boleh tergesa-gesa, tengok macam mana nanti.

“Memang fikir nak masuk Jelajah Dunia Akhir kerana mahu jaga ranking tetapi perkara ini (kecederaan) tidak boleh paksa. Kena tengok situasi tetapi kalau ada peluang, memang nak layak,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.

Terdahulu, Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky mendedahkan, Wooi Yik mengalami kecederaan retak jari kaki yang mula membelenggu sejak beraksi pada Sukan Olimpik Paris 2024 bulan lalu.

Sementara itu, Aaron menjelaskan, dia kini menjalani latihan bersama rakan sepasukan yang lain termasuk gandingan Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Choong Hon Jian-Haikal Nazri dan Arif Junaidi-Yap Roy King dalam usaha mengekalkan kecergasan.

“Macam saya cakap, ketika ini hanya buat persiapan diri sendiri dan kalau ada empat atau lima kejohanan lagi, kami akan masuk kesemuanya. Kalau ada rezeki, boleh pergi ke Jelajah Dunia Akhir,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI