fbpx

14 sekolah daif di Kapit dinaik taraf kos RM2.2 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alexander semasa meninjau SK Kampong Baru Kapit yang gagal disiapkan mengikut jadual oleh kontraktor.

KAPIT –  Sebanyak 14 buah sekolah dari Kapit, Song dan Belaga telah diangkat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak bagi pelaksanaan kerja-kerja pembaikan bangunan daif.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kerja menaik taraf sekolah-sekolah daif berkenaan melibatkan kos sebanyak RM2.2 juta.

“Buat masa ini, kerja-kerja telah dimulakan di lima buah sekolah rendah dan dua sekolah menengah,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, beliau hadir ke Pejabat Pendidikan Kapit bagi mendapatkan maklumat terkini keadaan sekolah di Kapit yang daif dan memerlukan pembaikan atau pembinaan semula.

Menurutnya, terdapat 49 buah sekolah di Kapit, dengan 45 daripadanya adalah sekolah rendah dan empat adalah sekolah menengah.

Selain itu, Alexander yang juga Ahli Parlimen Kapit turut meninjau projek sakit di SK Kampong Baru Kapit yang gagal disiapkan mengikut jadual oleh kontraktor yang dilantik.

Justeru, katanya kontrak kontraktor berkenaan telah ditamatkan dan proses lantikan semula kontraktor akan memakan masa sehingga setahun.

“Ini tentunya akan menimbulkan kegusaran dalam kalangan ibu bapa yang terpaksa menunggu lebih lama sebelum dapat menghantar semula anak mereka di sekolah ini,” katanya.

Alexander juga berkata telah bertemu dengan wakil kontraktor dan menyatakan ketidakpuasan hati terhadap kerja mereka yang telah menimbulkan kesusahan kepada banyak pihak, terutama para pelajar.

Katanya, meskipun projek itu adalah di bawah projek Kerajaan Sarawak, namun sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan, beliau berharap langkah-langkah yang akan diambil oleh JKR Sarawak dan Kementerian Pendidikan terhadap sekolah itu adalah langkah terbaik dan dapat membantu menyiapkan projek berkenaan secepat mungkin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI