KUALA LUMPUR – Habuan RM1 juta menanti jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou selepas dia berjaya menyumbang pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia pada Sukan Paralimpik Paris 2024.
Perkhabaran gembira itu diumumkan sendiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berdasarkan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) yang diperuntukkan kerajaan kepada setiap pemenang pingat di Sukan Paralimpik.
Selain insentif RM1 juta selaku pemenang pingat emas, juara dunia lapan kali itu turut menerima durian runtuh apabila diberikan elaun bulanan sebanyak RM5,000 seumur hidup di bawah Skim Insentif Sukan Olimpik (SITO).
“Sangat bangga dengan Cheah Liek Hou kerana menghadiahkan Malaysia pingat emas pertama di Sukan Paralimpik Paris 2024. Satu perkara yang cukup hebat untuk mendengar lagu Negaraku berkumandang di Paralimpik.
“Seperti yang telah dijanjikan, Liek Hou akan menerima ganjaran daripada kerajaan sebanyak RM1 juta dan elaun bulanan menerusi Skim Insentif Sukan Olimpik (SITO) RM5000 sepanjang hayat,” kata Hannah menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Terdahulu, pemain berusia 36 tahun itu melakar sejarah tersendiri apabila berjaya mempertahankan pingat emas dalam acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) selepas menewaskan Suryo Nugroho dari Indonesia 21-13, 21-15 di perlawanan akhir malam tadi.
Sebagai rekod, Liek Hou pernah menerima insentif RM1 juta tersebut ketika dia merangkul pingat emas Paralimpik pertama dalam kariernya ketika munjul juara pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 tiga tahun lalu.
Dalam pada itu, Hannah turut memuji semangat juang yang ditampilkan pemain kelahiran Kuala Lumpur itu sepanjang Paralimpik kali ini selain menyifatkan Liek Hou sebagai salah seorang atlet berkelas dunia.
“Saya tahu bapa anda bangga dengan pencapaian anda memenangi pingat emas kedua di Paralimpik. Liek Hou seorang pemain berkelas dunia, jadi kita tidak perlu risau dengan kekuatan mentalnya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE