JAKARTA – Seorang petani ditahan kerana menyembur cat merah pada cili padi kuning dan membekalkannya ke beberapa pasar di Indonesia untuk mengaut keuntungan, lapor laman berita Kompas. Kejadian itu berlaku di Kabupaten Banyumas, Jawa Tengah.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Banyumas, Komisioner Berry berkata, perbuatan suspek terbongkar selepas polis menyerbu kediamannya di Kabupaten Temanggung dan menemui beberapa tin cat berwarna merah.
“Motif suspek ialah mahu kaut untung lebih tinggi susulan harga cili padi merah kini semakin mahal.
“Cili padi merah dijual pada harga 45,000 rupiah (RM12.70) sekilogram manakala cili padi berwarna kuning pula berharga 19,000 rupiah (RM5.30) sekilogram. Perbezaan harga mendorong suspek bertindak sedemikian,” katanya.
Berry menjelaskan, bagi mengaburi mata orang ramai, suspek dipercayai menyembur cili padi berwarna kuning dengan cat merah sebelum mencampurkannya dengan cili padi merah asli.
“Setiap bungkusan cili padi merah seberat 30 kilogram (kg), ada sekitar 5 kg hingga 6 kg cili padi kuning yang disembur cat merah.
“Disebabkan cili padi kuning yang diwarnakan itu diletakkan di atas cili padi merah dalam bungkusan sama, maka cili padi merah asli juga terkena cat yang meleleh ke bahagian bawah (bungkusan),” jelasnya.
Suspek mengaku melakukan perbuatan tersebut.
“Suspek menanam cili sejak 2010 dan mengaku ini ialah kali pertama dia berbuat begitu kerana perbezaan harga dua sayur tersebut,” ujarnya.
Terdahulu, penduduk setempat dikejutkan dengan penemuan cili yang disembur cat di beberapa pasar di kawasan berkenaan. – Agensi