LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) menafikan kemungkinan Liga Malaysia (Liga M) bakal ditunda ekoran gelombang ketiga wabak Covid-19 sekali gus mengesahkan saingan akan berlangsung seperti yang dirancang bermula 26 Ogos depan.
Ketua Pegawai Eksekutif (MFL), Datuk Ab. Ghani Hassan berkata, pihaknya sudah menghubungi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan keputusan untuk membenarkan kejohanan bola sepak bermula 15 Ogos depan masih kekal.
“Saya telah menghubungi Datuk Seri Reezal dan beliau mengesahkan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri sebelum ini kekal.
“Justeru, MFL menegaskan saingan Liga M pada 26 Ogos depan adalah mengikut perancangan yang ditetapkan dan tiada perubahan setakat ini. Semua pasukan giat melakukan persiapan rapi,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sebagai rekod, saingan Liga Super dan Liga Premier musim ini yang ditangguhkan sejak 16 Mac lalu akibat wabak Covid-19 dijangka kembali bersambung pada 26 Ogos manakala saingan TM Piala Malaysia akan bermula pada 17 Oktober depan.
Mengulas lanjut, Ghani berkata, setiap pemain, pegawai dan semua pihak yang terlibat perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) serta mengekalkan momentum seperti sesi latihan Fasa 1.
“Saya menuntut disiplin tinggi dan ikut SOP selaras dengan saranan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam usaha memutuskan rantaian wabak Covid-19 daripada menular,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal mengenai kemungkinan saingan Liga M ditunda kerana peningkatan kes Covid-19 sejak seminggu lalu. – K! ONLINE