SHAH ALAM – Demi keselamatan, pelakon Siti Khadijah mengakui mempelajari seni mempertahankan diri sebagai langkah berjaga-jaga susulan peningkatan kes jenayah sehingga melibatkan kehilangan nyawa ketika ini.
Siti atau nama penuhnya Siti Khadijah Abdul Halim, 27, berkata, usaha tersebut sebagai salah satu cara yang boleh dipraktikkan sekiranya perlu mempertahankan diri pada waktu kecemasan.
“Bagi mempertahankan diri pada waktu yang kita tak boleh jangka, saya memilih untuk mempelajari seni mempertahankan diri iaitu judo, muay thai dan tinju
“Walaupun sedar saya tak akan mampu tewaskan kudrat lelaki, tetapi sekurang-kurangnya ada asas untuk melawan,” katanya kepada Kosmo! Online di set penggambaran drama Rahsiamu Selamat Denganku baru-baru ini.
Dalam pada itu, melihat lambakan kes jenayah yang semakin merisaukan, dia juga tidak lagi keluar seorang diri berbanding sebelum ini.
Tegasnya, perkara itu bukan sahaja perlu dipraktikkan oleh wanita sebaliknya golongan lelaki juga seharusnya melakukan hal sama kerana jenayah tidak lagi mengenal jantina.
“Sebelum ini saya jenis yang suka keluar rumah seorang diri, sangat berdikari tetapi sekarang tidak lagi. Kini, hendak pergi beli barang pun akan berteman atau ajak kawan.
“Saya juga ingatkan ahli keluaga agar tidak keluar berseorangan termasuk ibu dan ayah.
“Sekarang bukan perempuan sahaja tak selamat, lelaki juga sama,” ujarnya.
Tambah pelakon drama Wanita Syurga itu, jiwanya sangat tersentuh malah bimbang melihat banyak jenayah yang berlaku ketika ini.
“Saya berasa geram sebab kenapa Malaysia tiba-tiba macam ini?
“Sebelum ini kita semua hidup harmoni tetapi sekarang tiba-tiba dilanda dengan jenayah yang semakin lama semakin membimbangkan.
“Saya rasa sangat terkesan sebab melihat ramai yang tersakiti (jadi mangsa). Setiap kali nampak cerita begitu, saya rasa geram,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE