SUNGAI BULOH – Dua anggota polis yang terbabit dalam video tular memeriksa sebuah motosikal di sebuah stesen minyak di Subang Perdana, di sini, sudah diambil keterangan.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya masih menunggu pemilik kenderaan itu tampil membuat laporan polis.
“Pemilik kenderaan masih belum membuat laporan polis dan kita sudah merakam keterangan dua anggota polis yang berada di dalam video tersebut,” katanya hari ini.
Semalam, Kosmo! melaporkan pemilik motosikal yang mendakwa kenderaannya ‘berubah’ selepas diperiksa dua anggota polis diminta untuk tampil membantu siasatan.
Pihak polis terkesan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berdurasi tiga minit 18 saat yang memaparkan kejadian itu, Sabtu lalu.
Rakaman itu memaparkan petugas rondaan cegah jenayah dari Balai Polis Kampung Baru Subang mendekati sebuah motosikal di stesen minyak berkenaan.
Untuk makluman, pemeriksaan kenderaan adalah tugas harian setiap petugas rondaan cegah jenayah di lapangan.
Penularan rakaman itu dilihat menjejaskan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh.
Sehubungan itu, pemilik motosikal tersebut diminta tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE