PETALING JAYA – Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou menyifatkan pingat emas yang dimenangi pada Sukan Paralimpik Paris 2024 malam tadi merupakan hadiah istimewa buat rakyat Malaysia.
Menerusi hantaran di Insta Stornya hari ini, Liek Hou turut menyatakan ucapan terima kasihnya atas sokongan yang tidak berbelah bahagi oleh seluruh rakyat yang menyokongnya.
Beliau yang muncul juara menerusi acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) juga berkata, dia akan cuba membalas sokongan itu pada suatu hari nanti.
“Terima kasih banyak atas sokongan daripada seluruh rakyat Malaysia. Liek Hou akan cuba satu satu balas nanti.
“Liek Hou dapat rasa sokongan daripada anda semua. Sekarang sini sudah 3 pagi. Nanti saya sambung lagi ya. Liek Hou telah berjaya dan pingat emas ini adalah untuk anda semua,” tulisnya.
Di dalam hantaran tersebut, beliau turut menunjukkan bahagian depan dan belakang serta ukiran pingat emas yang berjaya dimenanginya.
Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Porte de la Chapelle Arena, Paris malam tadi (waktu tempatan), juara dunia lapan kali itu tidak berdepan banyak masalah apabila menang 21-13, 21-15 ke atas pemain Indonesia, Suryo Nugroho dalam tempoh 42 minit.
Kemenangan itu turut menyaksikan Liek Hou meraih pingat emas kedua berturut-turut pada temasya sukan terbesar dunia tersebut, sekali gus mempertahankan emas yang dimenangi di Tokyo, Jepun tiga tahun lalu.
Sebagai rekod, di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), Liek Hou bakal menikmati habuan RM1 juta selaku pemenang pingat emas Sukan Paralimpik, sama seperti yang diterima ketika menjadi juara pada Paralimpik Tokyo sebelum ini. – KOSMO! ONLINE