PUTRAJAYA – Polis masih mengesan beberapa penulis artikel dari negara jiran bagi membantu siasatan kes pemerdagangan manusia di Myanmar yang didakwa mengaitkan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan suami.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika ditemui berkata, pihaknya juga sedang mengesan individu bergelar ‘Datuk Seri’ yang dikaitkan kes itu untuk diambil keterangan.
“Siasatan polis adalah berkaitan pembabitan beliau (Mashitah) dalam dakwaan pemerdagangan orang, itu sahaja.
“Siasatan juga masih diteruskan dengan dengan mengesan Datuk Seri yang didakwa itu serta penulis-penulis artikel termasuk dari Indonesia. Mereka juga perlu dirakam percakapan,” katanya ketika ditemui pada Persidangan Keselamatan Dalam Negara 2024, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendedahkan pembabitan seorang ahli politik di negara ini bersama suaminya, membabitkan sebuah kumpulan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.
Malah, MHO turut menyerahkan laporan pembabitan ahli politik itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.
Sementara itu, Razarudin berkata, setakat ini hanya tiga percakapan yang direkodkan pihaknya.
“Kami juga masih mengesan sama ada terdapat individu yang melarikan diri selepas dakwaan itu timbul. Kita juga akan membuat semakan akaun (bank) dalam meneruskan siasatan berkenaan,” katanya.
Ditanya mengenai siasatan terhadap laporan pemerdagangan manusia oleh ‘Justice For Mynamar’ yang mengaitkan beberapa individu dari Malaysia, Razarudin berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan terperinci selepas membuka kertas siasataan pada Julai lalu. – KOSMO! ONLINE