MADRID – Kemarau jaringan penyerang sensasi Real Madrid, Kylian Mbappe akhirnya menemui noktah apabila meledak dua gol untuk membantu pasukan melakar kemenangan 2-0 ke atas Real Betis dalam aksi La Liga awal pagi semalam.
Pada aksi di Stadium Santiago Bernabeu itu, Mbappe menjaringkan gol menarik pada minit ke-67 sebelum menggandakan kelebihan tuan rumah dengan sepakan penalti berselang lapan minit kemudian.
Penyerang antarabangsa Perancis itu mengakui boleh menarik nafas lega selepas dikritik apabila gagal menjaringkan sebarang gol dalam tiga perlawanan liga sebelum ini.
“Saya meletakkan harapan tinggi untuk menjaringkan gol di stadium terbaik dunia ini dan akhirnya berjaya melakukannya.
“Secara jujur, mungkin gagal menjaringkan sebarang gol dalam tiga perlawanan adalah sesuatu yang normal buat penyerang lain tetapi situasi itu berbeza dengan saya.
“Saya berada dalam keadaan tertekan, namun barisan kejurulatihan dan pemain-pemain sentiasa menyokong saya daripada belakang,” katanya.
Sementara itu, pengendali Real, Carlo Ancelotti mengakui bangga dengan jiwa besar yang ditunjukkan oleh Vinicius Junior apabila memberikan tugas sepakan penalti kepada Mbappe.
“Saya gembira dengan sikap tidak mementingkan diri Vinicius kerana rasa mereka berdua ada hubungan yang baik di atas padang. Apa yang pasti, saya teruja lihat Mbappe sudah menemui sentuhan penyudah kerana kita tidak pernah berikannya sebarang tekanan,” katanya. – AGENSI