PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan pegawai dan anggota yang ditukar selepas dipercayai bersekongkol dengan sindiket judi, dadah, ah long serta Macau Scam sebelum ini akan berdepan tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja.
Mendedahkan perkara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, rombakan dibuat sebagai langkah awal memastikan pengkhianatan yang dilakukan pegawai dan anggota itu dihentikan termasuk memberi ruang kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman menjalankan siasatan.
Abdul Hamid berkata, pegawai yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika menjalankan siasatan sesuatu kes hingga menyebabkan suspek terlepas daripada hukuman turut berdepan tindakan yang sama.
“Memang semua orang asyik nampak, setiap kali pendedahan dibuat hanya tindakan rombakan dibuat tetapi mereka tidak tahu tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja akan dilakukan sekiranya laporan JIPS mengatakan mereka terlibat.
“Sudah puas saya beri nasihat dan amaran, namun masih ada segelintir warga PDRM yang masih degil. Saya akan pastikan tindakan dikenakan terhadap mereka agar polis yang berkhidmat secara jujur tidak terpalit dengan tohmahan yang dilakukan pengkhianat sebegini,” katanya kepada Kosmo! di Ibu Pejabat Bukit Aman.
Menurut beliau, hukuman yang akan dikenakan mengikut tindakan tatatertib di bawah Peraturan 37 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam 1993 iaitu turun pangkat dan buang kerja.
“Tindakan lain yang akan dikenakan mengikut Peraturan 36 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam 1993 ialah diberikan amaran, memotong emolumen dan menangguhkan kenaikan gaji.
“Mereka juga tidak layak dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat dalam tempoh dua tahun,” ujarnya.
Mengulas mengenai siasatan, Abdul Hamid memberitahu sekiranya pihak polis menerima aduan seseorang pegawai mahupun anggotanya menerima rasuah siasatan akan dijalankan untuk mencari bukti wang atau harta yang dimaksudkan sebelum pendakwaan dibuat di mahkamah.
Katanya, jika tiada barang bukti ditemui dan siasatan pasti seseorang itu terlibat maka siasatan tatatertib akan dibuat termasuk menyemak semula harta-harta yang diisytiharkan.
“Bagi kes pegawai dijanjikan sesuatu dan dia sengaja tidak melengkapkan siasatan hinggakan suspek terlepas daripada hukuman, kita akan semak semua SOP yang digunakan ketika siasatan dan sekiranya terbukti tindakan akan diambil tanpa mengira siapa dan apa jawatan mereka.
Kosmo! 16 Disember lalu melaporkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman masih menjalankan siasatan berhubung dakwaan penglibatan seorang pegawai kanan polis berpangkat Deputi Komisioner yang dikaitkan dengan sindiket Macau Scam dan judi online.