Meminjam duit kawan memang sedap sebab kalau tak dapat bayar balik pun si peminjam akan buat-buat lupa tanpa rasa bersalah.
Ada orang dari awal dia berniat tak ingin bayar balik hutang dengan kawan. Ada saja alasan yang diberi padahal sentiasa memuat naik gambar pergi ke sana sini atau beli barang berjenama di media sosial.
Orang yang semacam ini selalunya suka hidup dalam kepalsuan dan keresahan. Siang malamnya tidak tenteram kerana sering dikejar hutang bertimbun.
Bercakap pasal hutang dengan kawan, ada satu hantaran di Facebook membuatkan saya terfikir, ada juga orang marah jika tidak dapat meminjam hanya kerana menyangka si kawan itu mempunyai duit yang banyak.
Mukadimah hantaran itu berbunyi:
“Kena unfriend hari ini pasal kawan nak pinjam RM1,000 aku cakap tiada. Duit ada cukup-cukup saja untuk survival bulanan.
“Dia kata nampak aku makan dengan isteri dekat Restoran Madam Kwan untuk sambut hari ulang tahun perkahwinan takkan tiada duit. Yang sedap saja dia nampak tetapi seksa hendak dapat yang sedap itu dia tak tahu.”
Menurut empunya akaun Facebook itu, dia melakukan pelbagai kerja sebagai penghantar makanan selain mengambil upah memasukkan cili boh ke dalam plastik menggunakan gayung selama tiga jam di pasar borong. Mata panas, tangan pedih usah ceritalah.
Itu belum kira dia mengambil upah menolak troli menghantar barang ke dalam kereta dan kalau hari malang, motosikal yang digunakan untuk membuat penghantaran rosak dan perlu dibaiki.
Kisah suka duka kawan ini dapat dirasai oleh mereka yang pernah mengalami nasib serupanya. Berapa ramai yang hidup senang tanpa perlu kerja keras tetapi ramai juga yang hidup ala kadar tetapi mencari rezeki dengan cara halal lagi berkat.
Apa yang dicari ketika kita di dunia ini bukanlah kekayaan tetapi rezeki yang cukup walaupun ia sedikit. Yang demikian itu sudah pasti mendatangkan ketenangan buat jiwa yang resah.
Memang ramai yang terkesan dengan Covid-19 hingga membuatkan kita kreatif berfikir di luar kotak untuk mencari rezeki dan melakukan pelbagai pekerjaan untuk meneruskan hidup.
Namun dalam kita berusaha itu kadang-kadang ada juga dugaan yang tak disangka-sangka.
Lihat sahaja kepada nasib penghantar barang-barang untuk laman beli-belah Lazada baru-baru ini. Walaupun mereka sedaya upaya cuba kejar target, tetap juga 1,500 penghantarnya ditamatkan kontrak ekoran penurunan jumlah barang yang hendak dihantar.
Apa yang pasti, tahun 2020 telah meninggalkan kita dengan penuh kisah duka dan ada terbentang depan mata sekarang cabaran lebih getir pada 2021.
Lebih penting, jangan kita lentur semangat kerana ketahuilah tangan yang kasar kerana mencari rezeki yang berkat dan halal itu lebih disukai oleh Allah kerana akan membawa empunya badan ke syurga.
Biar hidup susah asalkan jangan makan rasuah.