KAPIT – Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Bena Sungai Sut di sini yang rosak teruk akibat ditenggelami banjir hingga ke bumbung baru-baru ini perlu dibina semula.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata ia memandangkan sekolah itu tidak dapat lagi dibaik pulih disebabkan keadaan yang sememangnya sudah daif, ditambah lagi dengan kerosakan akibat banjir.
“Membuat kerja baik pulih sahaja tidak cukup untuk menghidupkan semula rumah ilmu buat anak-anak pedalaman di sini. SK Nanga Bena perlu dibina semula.
“Struktur asal binaan sekolah ini yang didirikan pada tahun 1963 sudah tidak mampu lagi untuk menampung kerasnya bencana alam, sekiranya terjadi lagi.
“Nyawa anak-anak, guru-guru serta kakitangan di sini perlu diberi perhatian,” katanya menerusi kenyataan hari ini, selepas meninjau keadaan SK Nanga Bena bagi melihat sendiri kerosakan teruk yang dialami sekolah berkenaan semalam.
Alexander yang juga Ahli Parlimen Kapit menambah turut sedih melihat keseluruhan binaan sekolah, asrama dan kuarters yang menempatkan pelajar dan tenaga pengajar musnah ditenggelami air.
Justeru, beliau bersama-sama ADUN Pelagus, Wilson Nyabong Ijang masing-masing menyumbang RM30,000 dan RM10,000 kepada pihak sekolah bagi pelaksanaan kerja-kerja pembersihan dan membeli keperluan segera untuk para pelajar. – KOSMO! ONLINE