fbpx

Ke Myanmar untuk majlis pecah tanah, tiada kaitan gengster – Dr. Mashitah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video penjelasan yang dimuat naik Mashitah mengenai dakwaan terlibat sindiket berkenaan di Facebooknya baru-baru ini.

PETALING JAYA – Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim memaklumkan kehadirannya dan suami ke Myanmar atas dasar sebagai tetamu jemputan dari seorang kawan bernama Datuk Seri Leong Kee Huat dalam satu majlis pecah tanah.

Menerusi satu video penjelasan di Facebooknya, Mashitah berkata, dalam majlis tersebut hanya Datuk Seri itu yang dikenalinya dan suami, jadi katanya dia tiada kena mengena dengan tetamu lain yang hadir dalam majlis tersebut.

“Macam mana boleh keluar tuduhan itu saya tidak tahu sedangkan saya tidak terlibat langsung dengan kumpulan gengster dan pemerdagangan orang. Kebetulan Datuk Seri (Leong) meminta suami saya membaca kenyataan (teks) majlis tersebut yang ditulis dalam Bahasa Inggeris.

“Datuk Seri tidak boleh berbahasa Inggeris sedangkan majlis tersebut bersifat antarabangsa. Leong menjemput saya dan suami melihat tapak pecah tanah itu atas dasar kawan dan gambar yang dikatakan saya bersama gengster itu adalah gambar saya dengan pengawal di tapak projek tersebut,” katanya.

Jelasnya, Myanmar adalah sebuah negara yang diperintah tentera, jadi katanya senario pengawal keselamatan membawa senjata api adalah perkara biasa di sana.

Beliau berkata, tuduhan yang dilemparkan terhadapnya dan juga suami bukan sahaja dianggap tidak logik malah biadab apabila mereka yang tidak bertanggungjawab itu turut memuat naik gambar beliau bersama Sultan Pahang.

“Gambar saya mengadap Sultan Pahang pun dipusing (manipulasi) dengan tohmahan yang sangat jahat. Tuanku tidak ada kena mengena langsung, Saya mengadap mohon nasihat berbincang mengenai yayasan.

“Gambar dengan Datuk Seri Ayob Khan (Timbalan Ketua Polis Negara) juga dimanipulasi, kami sebenarnya berbincang untuk menepis tohmahan pondok terlibat dengan teroris.

“Tapi kapsyen dituduh Datuk Seri Ayob Khan adalah tali barut terlibat dalam pemerdagangan,” katanya.

Katanya, dia tidak faham kenapa perkara ini ditularkan dan apakah motif sebenar media dari Indonesia berbuat demikian.

Terdahulu, akhbar melaporkan, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menyerahkan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat seorang ahli politik bersama suaminya yang didakwa terlibat dengan sebuah kumpulan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Sementara itu Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan polis sudah mengambil keterangan ahli politik dan suaminya yang dikaitkan dengan sindiket berkenaan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI