fbpx

Pesawat MAS Airbus 330-300 ke Incheon berpatah balik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Sebuah pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH66 penerbangan dari Kuala Lumpur ke Incheon, Korea Selatan menggunakan Airbus 330-300 dilaporkan berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang awal pagi tadi.

Berdasarkan maklumat yang dipaparkan menerusi aplikasi Flightradar24, pesawat itu dilaporkan berlepas dari KLIA pada pukul 12.01 tengah malam sebelum berpatah balik ke Kuala Lumpur.

Menerusi komen yang ditinggalkan pengguna media sosial di ‘page’ True Malaysia Airlines Fan Group di Facebook mendakwa pesawat itu berpatah balik selepas dua jam berada di udara.

Menurut Jason Cheok, pendaratan pesawat itu dibuat secara normal bukannya dalam suasana kecemasan.

“Penumpang kelas perniagaan dan platinum ditempatkan di Hotel Movenpick, manakala baki penumpang lain di Hotel Mercure, Putrajaya dengan sarapan dan makan tengah hari disediakan.

“Mereka akan diambil semula pada pukul 5 petang hari ini dari Hotel Movenpick di mana jangkaan waktu pelepasan (ETD) pada pukul 8 malam dan dijadual tiba pada pukul 4 pagi Selasa,” katanya.

Sementara itu, menurut seorang penumpang penerbangan itu, Ameer Mohamad Nor, penerbangan MH66 telah selamat mendarat di KLIA.

“Saya dalam penerbangan itu, kami sudah selamat mendarat. Difahamkan, ia melibatkan masalah berkaitan hidraulik,” katanya.

Ketika ini, Kosmo! juga sedang mencuba mendapatkan penjelasan daripada MAS berhubung kejadian berkenaan.

Paparan aplikasi Flightradar24 menunjukan MH66 berpatah balik ke Kuala Lumpur selepas berlepas dari KLIA.

Sebelum ini, penerbangan Malaysia Airlines MH128 dari Melbourne ke Kuala Lumpur terpaksa dilencongkan ke Alice Springs akibat masalah enjin di udara.

Tiga penerbangan Malaysia Airlines sebelum ini juga membuat pendaratan kecemasan.

Pada 4 Ogos, sebuah penerbangan Malaysia Airlines yang membawa 259 jemaah umrah menuju ke Jeddah berpatah balik ke KLIA disebabkan masalah teknikal sejurus selepas berlepas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI