TAIPING – Seorang jururawat Hospital Taiping maut setelah kereta dipandunya berlanggar dengan sebuah treler yang membawa muatan sawit di kawasan Pondok Tanjung, Selama dekat sini semalam.
Mangsa, Rozana Othman, 32, terkorban ketika dia sedang dalam perjalanan untuk bertugas syif sebelah malam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, pihaknya telah dimaklumkan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 8.41 malam.
“Mangsa menaiki kereta jenis Proton Pesona tersepit setelah keretanya berlanggar dengan treler tersebut.
“Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selama dan dibantu oleh BBP Batu Kurau telah melakukan kerja-kerja penyelamatan menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya di sini semalam.
Menurut Sayani, mangsa berjaya dikeluarkan namun disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang turut berada di lokasi kejadian.
Tambahnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE