TOULOUSE – Penyerang sensasi Marseille, Mason Greenwood terus menikmati kehidupan di Perancis apabila kali ini meledak dua gol membantu pasukannya menewaskan Toulouse 3-1 pada aksi Ligue 1 awal pagi semalam.
Dua gol dalam tempoh seminit dijaringkan oleh Greenwood di Stadium de Toulouse itu menyaksikan dia kini sudah mengumpul lima jaringan daripada tiga perlawanan Ligue 1 musim ini.
Jurulatih Marseille, Roberto De Zerbi memuji impak bekas bintang Manchester United itu yang memanfaatkan kelebihannya dari segi pertarungan satu lawan satu apabila berhadapan pemain pertahanan lawan.
Bekas pengendali Brighton berusia 45 tahun itu turut menyifatkan situasi kad merah diterima penyerang Toulouse, Frank Magri seawal minit ke-27 memudahkan lagi pasukannya untuk mencatat kemenangan.
“Separuh masa pertama amat menakjubkan apabila kami berjaya menjaringkan dua gol. Kelebihan jelas milik kami kerana memiliki lebih seorang pemain selepas lawan dikenakan kad merah.
“Kami banyak bergantung kepada keupayaan satu lawan satu terutama Greenwood yang cemerlang dalam aspek itu untuk menewaskan pemain pertahanan dan hasilnya menjaringkan dua gol.
“Namun, kami masih ada peluang untuk memperbaiki terutamanya dari segi kepantasan dan mentaliti pasukan. Kami tidak patut lepaskan gol kepada lawan dan menang dengan keputusan 3-0,” kata De Zerbi.
Greenwood yang dipinjamkan ke Getafe musim lepas sebelum meninggalkan United secara tetap pada Julai lalu, meledak dua gol dalam tempoh seminit pada minit ke-16 dan 17.
Penyerang muda berusia 22 tahun itu turut memainkan peranan sehingga menyaksikan pemain pertahanan Toulouse, Charlis Cresswell menjaringkan gol sendiri pada minit ke-52.
Gol tunggal Toulouse dalam kekalahan 1-3 itu pula dijaringkan oleh Shavy Babicka di penghujung perlawanan. – AGENSI