LONDON – Pengendali Arsenal, Mikel Arteta mengakui beliau sangat terkejut melihat pemain tengahnya, Declan Rice dilayangkan kad merah ketika terikat 1-1 menentang Brighton di Emirates kelmarin.
Pemain antarabangsa England itu dilayangkan kad kuning selepas mengasari Joel Veltman sebelum menerima kad kuning kedua selepas menyepak bola keluar ketika pemain Brighton itu bersedia untuk melakukan sepakan percuma.
Kesan kehilangan Rice menyaksikan Arsenal bolos gol penyamaan Brighton menerusi Joao Pedro biarpun mendahului perlawanan menerusi Kai Havertz sekali gus menyaksikan The Seagulls meneruskan aksi tanpa kalah, manakala rekod kemenangan bersih The Gunners musnah.
“Saya berasa ‘kagum’ melihat bagaimana keputusan tidak konsisten dibuat sepanjang perlawanan ini berlangsung. Pada separuh masa pertama, ada dua insiden, tetapi tidak ada tindakan dikenakan.
“Kemudian, apabila insiden di kawasan bukan kritikal berlaku melibatkan Declan, keputusannya agak keras. Bola terkena Declan, dia berpusing dan tidak melihat pemain lawan cuba melakukan sepakan itu sebelum menyentuh bola,” katanya,
Layangan kad merah itu menyaksikan Brighton berjaya mengambil kesempatan selepas Arsenal kekurangan pemain apabila mereka melakukan 19 percubaan dan tiga daripadanya hampir menemui sasaran.
Arteta percaya bahawa pasukannya layak untuk memenangi perlawanan dan penyerang Brighton, Pedro sepatutnya diberikan kad amaran apabila menyepak bola selepas wisel dibunyikan pada babak pertama. – AGENSI