Setiap cabang kerjaya memiliki cabaran tersendiri yang secara tidak langsung memberi impak kepada kehidupan seseorang. Begitu juga dengan profesion selebriti yang secara pandangan mata kasar segalanya indah kerana dilimpahi glamor dan kemewahan.
Hakikatnya semua itu tidak ubah seperti luka di tangan nampak berdarah, luka di hati siapa tahu. Bidalan pujangga itu boleh diibaratkan seperti refleks kepada kehidupan seorang anggota kumpulan penyanyi wanita popular Britain, Little Mix, Jesy Nelson yang mengambil keputusan untuk mengundurkan diri daripada kumpulan terbabit.
Pada awalnya sekadar khabar angin yang bertiup sejak Oktober lalu. Namun, pengakhiran 2020 menyaksikan penamat karier Jesy bersama Little Mix. Dia mengibarkan bendera putih meninggalkan kumpulan yang telah sembilan tahun mengangkat namanya.
Nelson atau Jessica Louise Nelson menyertai pertandingan nyanyian X-Factor Britain pada 2011 sebagai penyanyi solo. Bagaimanapun dia bersama penyanyi lain iaitu Perrie Edwards, Leigh-Anne Pinnock dan Jade Thirlwall disatukan sebagai sebuah kumpulan.
Keempat-empat mereka kemudian dikenali sebagai Little Mix dan telah mencetuskan fenomena apabila album keempat bertajuk Glory Days menjadi album kumpulan wanita paling lama berada dalam carta muzik di Britain.
Kejayaan tersebut lantas menewaskan dua nama besar dalam industri muzik antarabangsa iaitu Spice Girls dan The Supremes apabila Little Mix mencatat rekod 69 minggu berada dalam carta.
Bagaimanapun langit tidak selalunya cerah. Little Mix yang dahulunya bergerak dengan empat jentera kini sudah beralih menjadi trio. Hal ini kerana Nelson tanpa menoleh ke belakang meninggalkan kumpulan terbabit pada pertengahan Disember lalu.
Sebenarnya, sepanjang sembilan tahun bergelar penyanyi, kehidupan Nelson tidak seindah yang disangka biarpun Little Mix pernah dinobatkan sebagai Artis Berkumpulan British Terbaik
Anugerah BBC Radio 1 selama tiga tahun berturut bermula 2017, 2018 dan 2019.
Justeru, pada saat melepaskan diri daripada ikatan Little Mix, Nelson meluahkan segala yang terbuku dihati, sekali gus menerangkan keadaan sebenar sepanjang bersama kumpulan terbabit.
Menurut laporan Mirror, Nelson menyifatkan dirinya tidak ubah seperti robot yang tidak mempunyai waktu rehat waima semasa menjalani tempoh rawatan akibat kecederaan.
Setiap luah hatinya bagai berteriak ke arah tembok kerana perkara tersebut tidak pernah sampai ke telinga umum, sehinggalah dia mengundurkan diri daripada Little Mix atas sebab masalah mental selain ingin fokus kepada diri sendiri.
Nelson pernah cuba untuk menyuarakan perkara tersebut dalam buku autobiografi kumpulan terbabit pada 2012 dan 2016 tetapi sayangnya kepincangan tetap tidak didedahkan kepada khalayak.
“Pada suatu hari saya mengalami kesukaran untuk menggerakkan bahu. Bagaimanapun saya merasakan ada sesuatu berlaku di bahagian belakang yang dirasakan seperti menerima 50 suntikan sehingga menyebabkan bahagian tersebut kelihatan lebam.
“Sebelum persembahan , saya bersiap sambil dibantu petugas yang hanya memberi minuman kopi untuk memastikan saya bertenaga. Tetapi berasa sangat lemah dan tidak mampu untuk membuat persembahan di atas pentas.
“Keadaan itu membuatkan saya gagal mengawal keseimbangan badan sehinggakan menjadi antara perkara yang sangat memalukan dan terburuk pernah saya lakukan,” terang Nelson.
Penderitaan
Penyanyi berusia 29 tahun itu juga meluahkan kekecewaan kehidupannya sebagai artis. Dia ibarat roda yang tidak henti-henti berputar. Sebagai manusia biasa pasti seseorang akan berasa lelah setelah seharian bekerja.
Dia juga mahu menghabiskan masa hujung minggu melakukan aktiviti kegemaran tanpa perlu memikirkan kerja namun sebaliknya yang berlaku. Dia perlu menghadam setiap sentimen negatif khalayak yang tidak henti-henti ‘membawang’ tentang bentuk fizikalnya.
“Dalam kehidupan yang normal anda tidak mempunyai sebarang kekangan untuk bercuti bagi berehat tanpa memikirkan pandangan orang lain. Tetapi pekerjaan ini memberikan impak sebaliknya.
“Sekiranya anda gagal dalam sesebuah persembahan, mereka akan mengeluarkan kenyataan, kritikan dalam sosial media dan ini tidak ubah seperti satu penderaan,” luah wanita kelahiran Romford, Britain itu.
Tidak dinafikan pada era yang moden ini kekuatan papan kekunci lebih tajam daripada mata pedang.
Menurut Nelson, bentuk fizikalnya sering menjadi jenaka dan bahan kecaman netizen yang tidak henti-henti membulinya.
Pernah juga satu ketika, dia harus meneruskan persembahan biarpun pada masa sama ibunya sedang kritikal akibat masalah jantung.
Segalanya perlu dipendam sendiri kerana kecaman dan kritikan itu tidak ubah seperti isi dengan kuku.
Nelson mengharungi semua kelukaan tersebut demi meneruskan kelangsungan dan mengejar cita-cita sebagai penyanyi.
“Pada tahun pertama, saya diberikan ubat antibiotik yang sangat kuat bagi mengelakkan diri daripada termuntah sewaktu sedang membuat persembahan akibat mengalami masalah gigi.
“Kadangkala saya berasa pelik mengapa masyarakat tidak dapat melihat bahawa artis juga sama seperti manusia yang memerlukan privasi untuk berehat daripada tekanan kerja.
“Tidak hanya itu mengapa kalian gemar memberi komen yang menyakitkan hati. Sedarkah bahawa kami juga manusia yang turut mempunyai perasaan,” luah Nelson panjang lebar.
Melanjutkan cerita mengenai sisi gelap yang menyelubungi dirinya sepanjang bersama Little Mix, Nelson mengakui pernah mengalami pendarahan dalam telinga kerana berasa terlalu tertekan.
Trio Little Mix
Biarpun Nelson memilih untuk angkat kaki dan meninggalkan Little Mix, anggota yang lain bagaimanapun tidak membantah mahupun menghalang niatnya.
Mereka bahkan memberikan sokongan dan mengharapkan Nelson segera sembuh dan mendapatkan rawatan sewajarnya bagi menangani masalah kesihatan mental yang dialami.
Bagi mereka, meskipun Nelson sudah tidak bersama, Little Mix tetap meneruskan perjuangan walaupun hanya bertiga
Tidak dinafikan berita pengunduran Nelson akan memberi impak besar dan pahit untuk ditelan oleh ahli Little Mix tetapi bagi Edwards, kumpulan itu akan meneruskan siri jelajah sepanjang 2021.
“Kami tetap memberi sokongan dalam apa jua yang dia (Nelson) lakukan pada masa akan datang. Tetapi kami tetap akan meneruskan persembahan pada tahun ini tidak mengira sama ada bersama Nelson atau tidak.
“Kekurangan seorang ahli tidak bermakna Little Mix akan berpecah. Kami bertiga tetap ingin meneruskan perjuangan dan tidak bersedia untuk berpecah,” jelas Edwards.
Keyakinan Edwards bagaimanapun mengundang persoalan tentang selama mana Little Mix mampu bertahan setelah salah seorang anggotanya meninggalkan kumpulan.
Segelintir pihak berpendapat bahawa trio Little Mix tidak mampu bertahan lama kerana kesudahannya akan sama seperti sejarah pepecahan One Direction dan Fifth Harmony.
Bermula dengan seorang daripada ahli mereka yang memilih untuk bergerak solo, tidak lama kemudian kumpulan itu juga akhirnya dibubarkan.
Nasib Little Mix bergantung kepada kekuatan setiap ahli, masa depan Nelson pula harus ditangani sendiri, ketika ini.