KUALA LUMPUR – Pelumba berbakat negara, Hakim Danish Ramli mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri selepas menjuarai perlumbaan kedua Grand Prix (GP) Aragon saingan Red Bull MotoGP Rookies Cup 2024 sebentar tadi.
Pada perlumbaan itu, Hakim Danish yang berusia 17 tahun berjaya menewaskan wakil tuan rumah, Brian Uriarte di kedudukan kedua, manakala pelumba Finland, Rico Salmela melengkapkan kedudukan podium sebagai pemenang tempat ketiga.
“Hakim Danish hadiahkan Malaysia kemenangan di bumi Spain (Sepanyol)! Lagu Negaraku berkemundang di Litar Aragon di atas kemenangan Hakim Danish,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh ZK Racing sebentar tadi.
Keputusan tersebut menyaksikan Hakim Danish menduduki tangga keenam keseluruhan kategori pemandu selepas mengutip 114 mata, manakala Alvaro Carpe dari Sepanyol kekal mendahului dengan 202 mata. – KOSMO! ONLINE