KETUA jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente mengakui belum boleh ‘tersenyum’ selagi beberapa pemain warisan bertaraf ‘gred A’ yang dikaitkan tidak menyarung jersi pasukan kebangsaan.
Sebagai rekod, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin mendedahkan dua pemain warisan, Wan Kuzain Wan Kamal dan Mats Deijl semakin hampir diserapkan dalam skuad kebangsaan.
Menurut Hamidin, Deijl yang merupakan pemain pertahanan kelab Liga Eredivise, Go Ahead Eagles sudah menghubungi Pau Marti untuk menyatakan hasrat menukar status warganegara dengan mewakili Harimau Malaya.
Pau Marti berkata, pihaknya sudah mengenal pasti ramai pemain yang berpangkalan di luar negara, tetapi masih memiliki salasilah keturunan Malaysia sekali gus berpotensi mewakili Harimau Malaya.
“Kita ada senarai panjang nama pemain warisan yang memiliki pilihan untuk beraksi dengan Malaysia. Namun, sekarang bukanlah masa yang sesuai buat saya komen mengenai peribadi mereka.
“Sekiranya sudah pasti nanti, barulah saya akan bercakap mengenai mereka. Cuma, saya boleh sahkan bahawa kami sentiasa meneliti dan mencari pilihan (pemain warisan) sekiranya ada.
“Buat masa sekarang, lebih baik kita fokus dengan senarai 26 pemain yang dipanggil untuk mengharungi Pestabola Merdeka kali ini,” kata pengendali kelahiran Sepanyol itu.
Skuad negara ketika ini memiliki beberapa pemain warisan ‘gred A seperti Dion Cools, La’Vere Corbin-ong dan Matthew Davies sehingga dikatakan punca prestasi pasukan semakin memuncak dibawah kendalian Kim Pan-gon sebelum ini. – KOSMO! ONLINE