PUTRAJAYA- Malaysia bersedia bersaing untuk mendapatkan kedudukan dalam
Lembaga Eksekutif United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (Unesco) bagi membawa misi pertumbuhan nasional yang inklusif selain melindungi alam sekitar.
Ia termasuk bagi mempromosikan keadilan sosial bersandarkan kepada prinsip Membina Masa Depan Yang Berbeza (Build Forward Differently-BFD).
Kesediaan itu susulan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang akan mengetuai delegasi Malaysia bagi menghadiri Minggu Pembelajaran Digital Tahun 2024 di Ibu Pejabat Unesco, Paris bermula esok hingga 4 September depan.
Menurut Kementerian Pendidikan, penyertaan Malaysia dalam Minggu Pembelajaran Digital Tahun 2024 adalah bertepatan dengan hala tuju pendidikan negara yang memberi fokus kepada tranformasi pendidikan digital.
“Ia juga adalah wadah yang dapat menggalakkan perkongsian amalan terbaik dalam pendidikan digital dan pertukaran pendapat serta maklumat selain meningkatkan
keterlihatan Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadhlina selaku Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) turut akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Ketua Pengarah Unesco, Xing Qu dan secara rasmi mengumumkan pencalonan Malaysia untuk bertanding bagi kerusi Lembaga Eksekutif Unesco Penggal 2025 hingga 2029.
“Malaysia beriltizam melaksanakan beberapa langkah penting untuk merealisasikan objektif BFD melalui kompetensi Unesco dalam bidang seperti pendidikan, sains semula jadi, sains dan sains sosial, kebudayaan selain inisiatif kerjasama dengan semua pihak.
“Tindakan strategik ini dapat memberi sumbangan signifikan kepada impak kelestarian, inklusiviti, mencipta peluang dan keamanan global,” katanya. – KOSMO! ONLINE