MANCHESTER – Pasukan Manchester United berjaya menandatangani ‘jeneral’ idaman selepas mengesahkan kehadiran Manuel Ugarte secara tetap daripada pasukan Paris Saint-Germain (PSG) dengan nilai keseluruhan €60 juta (RM286.7 juta) awal pagi semalam.
Pemain antarabangsa Uruguay berusia 23 tahun setuju dengan tawaran United selepas menandatangani kontrak jangka panjang sehingga tahun 2029 dengan tambahan 12 bulan bergantung prestasi semasa.
Kehadiran Ugarte melengkapkan perbelanjaan ‘mewah’ The Red Devils pada jendela perpindahan kali ini selepas menandatangani empat lagi pemain baharu sebelum ini seperti Leny Yoro, Matthijs de Ligt, Joshua Zirkzee dan Noussair Mazraoui.
Menurut Ugarte, keputusan untuk berhijrah ke Old Trafford cukup mudah untuk dilakukan kerana United adalah salah satu kelab terbesar dan paling dikenali di seluruh dunia.
“Perasaan dapat menyarung jersi United cukup luar biasa dan saya akui projek jangka panjang yang dirangka oleh pengurusan menjadi salah satu faktor kenapa saya memilih untuk berhijrah ke sini,” katanya.
Sementara itu, pengarah sukan United, Dan Ashworth optimis kehadiran Ugarte melengkapkan ‘hajat’ yang telah disuarakan pengurus kelab, Erik ten Hag dalam misi memantapkan pasukan pada kempen kali ini.
“Ugarte merupakan salah seorang pemain utama yang kita sasarkan pada jendela perpindahan kali ini. Dia boleh dianggap antara tonggak terbaik dunia di posisi tengah dan sudah terbukti di peringkat kelab bersama PSG dan juga antarabangsa,” katanya. – AGENSI