KUALA LUMPUR – Keluarga wanita warga india, yang terjatuh ke dalam tanah jerlus di Jalan Masjid India bersetuju dengan tindakan pemberhentian operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk ke hari kesembilan, hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, perbincangan telah dibuat dengan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, BN Reddy.
Katanya, Reddy turut menzahirkan beri penghargaan atas usaha SAR yang dilakukan sejak hari pertama kejadian berlaku.
“Beliau (BN Reddy) faham dalam kesungguhan dilakukan pihak SAR dan memahami jika kita perlu ambil keputusan memberhentikannya,” katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian, di sini hari ini.
Mengulas mengenai keadaan emosi keluarga mangsa, Zaliha berkata, pihak mereka menerima sekiranya pihak kerajaan terpaksa menghentikan SAR.
“Pada hari pertama mereka sangat sedih dan sukar menerima selain mohon untuk kita cepat menemui mangsa.
“Kita memberi jaminan akan lakukan secepat mungkin namun beberapa hari kemudian kita sentiasa bertemu dengan mereka dan mula menerima serta bersetuju kalau kita terpaksa berhenti pencarian,” ujarnya.
Tegas beliau, kerajaan sedia mempertimbangkan untuk memberi pampasan kepada keluarga mangsa, bagaimanapun perkara itu akan dibincangkan dalam masa terdekat.
Pada 23 Ogos lalu, seorang wanita warga India, Vijaya Lakshmi, 48, dilapor hilang selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter akibat kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India. – KOSMO! ONLINE.