PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan rasa gembira berhubung kelancaran perjalanan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 di Dataran Putrajaya, hari ini.
Baginda bertitah demikian kepada Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Hari Malaysia (HKHM) 2024, Fahmi Fadzil sebelum berangkat pulang sejurus selesai acara.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Sultan Ibrahim dalam pada itu turut menzahirkan rasa gembira acara berkenaan dilaksana dengan ketepatan masa yang sempurna.
“Tuanku bertitah bahawa baginda sangat gembira dengan perjalanan sambutan hari ini yang berjalan tepat pada masanya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sambutan Hari Kebangsaan 2024, hari ini. – KOSMO! ONLINE