KUALA LUMPUR – Pemain badminton para negara, Muhammad Fareez Anuar mengesahkan kemaraan ke separuh akhir perseorangan lelaki SU5 pada Sukan Paralimpik Paris 2024 selepas menewaskan jaguh Indonesia, Dheva Anrimusthi sebentar tadi.
Pada aksi kedua Kumpulan B yang berlangsung di Porte de la Chapelle Arena, Paris, pemain No.4 dunia itu dipaksa bermandi peluh sebelum memastikan kemenangan 14-21, 21-19, 21-19 dalam tempoh 75 minit.
Walaupun turun menentang Anrimusthi yang dianggap sebagai pilihan untuk memenangi perlawanan itu, namun Fareez langsung tidak berputus asa apabila bangkit selepas mengalami kekalahan di set pertama.
Tersentak dengan kekalahan awal, pemain berusia 28 tahun itu memperkemaskan permainan di set kedua dan berjaya meletakkan lawannya berada dalam keadaan tertekan sebelum menang 21-19 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.
Biarpun pada awalnya dia lebih banyak mengekori kedudukan Anrimusthi dari belakang, namun semangat juang ditampilkan Fareez menyaksikan dia berjaya mencatat kemenangan di set ketiga walaupun pada satu ketika ketinggalan 17-19.
Kemenangan tersebut pastinya memberi kelegaan kepada pemain kelahiran Johor itu menjelang aksi terakhir peringkat kumpulan menentang wakil Jepun, Taiyo Imai yang akan berlangsung esok. – KOSMO! ONLINE