SKUAD Harimau Malaya mendapat khabar gembira apabila pemain pertahanan kelahiran Belanda, Mats Deijl cukup serius untuk menjadi tonggak berdarah warisan terbaharu pasukan ketika ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, Deijl menjadi pemain berdarah kacukan terbaharu yang berjaya dikesan kerana memiliki salasilah berasal dari Malaysia.
Kata Hamidin, Deijl sendiri ada menghubungi ketua jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente dengan menyatakan minat untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan.
“Datuk dia dari Malaysia, jadi kita tengah proses, dia menghubungi pegawai kita dan Pau Marti untuk (nyatakan hasrat) dia nak main Malaysia,” katanya ketika ditemui Kosmo!.
Akhbar Kosmo! pada Disember lepas melaporkan Deijl berpotensi untuk diserapkan dalam skuad Harimau Malaya selepas dikesan oleh ejen pencari bakat di laman sosial.
Malah, Hamidin sebelum ini mengakui salah satu cara untuk meningkatkan prestasi skuad kebangsaan adalah dengan mencari lebih ramai pemain berdarah warisan.
Situasi ini disebabkan beberapa tonggak berdarah warisan ‘gred A; yang berada dalam skuad kebangsaan seperti Dion Cools, La’Vere Corbin-ong dan Matthew Davies dikatakan punca prestasi pasukan semakin memuncak ketika ini.
Deijl yang lahir di Vlaardingen beraksi di posisi bek kanan bersama kelab Liga Eredivisie, Go Ahead Eagles sejak tahun 2021.
Selain Deijl, Hamidin turut mengesahkan pemain kelahiran Amerika Syarikat (AS), Wan Kuzain Wan Kamal bakal menyarung jersi kebangsaan selepas ini apabila bebas daripada kecederaan.