fbpx

600 pemain pro, amatur berentap sempena Johor Golf Expo 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LUKMAN Abu Bakar (enam dari kiri) bersama pemain golf amatur selepas majlis pelancaran di Pejabat KPRJ, Iskandar Puteri baru-baru ini.

LEBIH 600 pemain golf amatur berpeluang bersaing dengan bintang profesional sempena Johor Golf Expo 2024 (JGE2024) yang akan berlangsung di Kelab Golf Senibong, Iskandar Puteri, Johor bermula 8 hingga 27 Oktober depan.

Pengarah Urusan Champions Golf, Matthew A. Murry berkata, kejohanan yang menyasarkan pemain tempatan dan antarabangsa itu turut menawarkan hadiah terkumpul sebanyak RM14,000 bagi amatur, manakala RM40,000 buat pemain profesional.

“Penekanan kita untuk menjadikan sukan golf mudah diakses semua dengan misi Champions Golf mendemokrasikan sukan ini dan transformasi Kelab Golf Senibong menjadi kemudahan awam adalah manifestasi kami. JGE2024 adalah langkah penting ke arah matlamat ini.

“Champions Golf komited mengembangkan industri golf di Johor mahupun di seluruh Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran JGE2024 di pejabat Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) Sdn. Bhd., Iskandar Puteri baru-baru ini.

Menerusi sokongan KPRJ, syarikat itu berhasrat menarik pemain antarabangsa, meningkatkan tahap persaingan dan memperluaskan daya tarikan kejohanan dalam expo berkenaan.

Selain kejohanan golf, ekspo dengan kerjasama KPRJ Sports Sdn. Bhd. itu juga menyediakan pelbagai aktiviti sepanjang dua bulan JGE2024 berlangsung bagi meningkatkan lagi Johor sebagai destinasi terkemuka sukan tersebut.

“Kami sangat teruja untuk mengalu-alukan kehadiran para pemain golf dari seluruh Asia dan Timur Tengah untuk mencuba kehebatan bermain golf di Johor, sebuah negara yang kaya budaya dan hospitaliti,” tambahnya.

Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ, Datuk Lukman Abu Bakar berkata, kerjasama itu juga adalah salah satu usaha ke arah meningkatkan sektor pelancongan dan ekonomi Johor.

“KPRJ komited untuk memajukan pembangunan sukan di Johor dengan mempromosikan golf sebagai satu gaya hidup. Kerjasama dengan Champions Golf bukan sahaja mengangkat martabat sukan ini, malah merangsang pertumbuhan ekonomi dan menggalakkan pelancongan di negeri ini,” katanya.

JGE2024 komited untuk meningkatkan kesedaran tentang sukan golf sambil turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Johor dengan lebih 70 pempamer, termasuk perniagaan tempatan akan mempamerkan inovasi terkini dalam produk golf, sukan dan rekreasi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI