fbpx

Anggap Ebit kawan, pengadu silap tempat mengadu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EBIT Lew (kiri) diiringi barisan peguam semasa tiba di Mahkamah Majistret, Tenom hari ini.

TENOM – Pengadu yang juga saksi kesembilan memberitahu Mahkamah Majistret hari ini bahawa dia menganggap Ebit Lew sebagai kawan tapi, dia sudah tersalah tempat mengadu.

Perkara itu dinyatakan dalam mesej perbualan antara dia dan Ebit Lew seperti yang terdapat dalam laporan kes forensik digital yang dikeluarkan daripada telefon bimbitnya.

Laporan kes forensik digital itu mula dibacakan oleh pengadu dan direkodkan mengikut kesinambungan tarikh dan masa setiap mesej yang dihantar oleh pengadu kepada Ebit sepanjang tempoh Mac hingga Julai 2021.

Pengadu membacakan setiap kandungan mesej perbualan yang dihantar olehnya apabila diminta oleh peguam bela, Datuk Ram Singh semasa sesi pemeriksaan balas.

Berdasarkan mesej perbualan itu, pengadu memberitahu dari mula dia mesej Ebit Lew melalui Instagram selepas tengok Program Keluarga Sunnah.

“Saya sudah anggap (Ebit) kawan. Saya nak kawan dengan awak sebenarnya sebab saya suka nasihat daripada awak. Tapi, saya sudah salah. Maksudnya saya pun sudah gagal dengan ujian ini,” katanya.

Dalam perbualan berkenaan, pengadu memberitahu bahawa dia adalah isteri orang dan dia pasrah dengan ujian hidup yang dihadapi oleh dia dan suami. Namun, dia bersabar demi anak.

Malah, dalam perbualan itu, pengadu turut meminta Ebit melakukan taubat nasuha dan dia akan cuba menjaga aib Ebit.

“Sebenarnya hari ini, itu yang dia hendak WhatsApp sebab minggu depan sudah bulan puasa (Ramadan). Awak baik, anggap ini ujian. Dengan saya tidak apa, jangan buat lagi dengan orang. Bahaya awak, nama awak terkenal.

“Maaf saya cakap macam ini. Lagipun ini masa yang sesuai dengan kuarantin seminggu. Aib ini hanya saya seorang sahaja simpan. Macam awak cakap, kita manusia biasa,” katanya.

Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew,38, berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.

Atas kesalahan itu, Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

Perbicaraan dilakukan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Zahida Zakaria dan Analia Kamaruddin manakala, Ebit diwakili peguam Ram, Mohd. Syarulnizam Salleh Keruak, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut dan Prem Elmer Ganasan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI