KUALA LUMPUR -Kerja mengorek dan memeriksa beberapa lokasi berisiko kejadian mendapan tanah sedang dilakukan di sekitar Jalan Masjid India, di sini, hari ini.
Tinjaun Kosmo! mendapati, beberapa kawasan berisiko berlaku mendapan tanah ditanda dengan bulatan cat kuning selain diletakkan penghadang.
Kerja-kerja korekan tanah itu dibuat bagi mengenal pasti punca mendapan tanah dan memastikan kejadian seorang wanita warga India terjatuh ke dalam tanah jerlus tidak berulang.
Kerja korekan tanah dipantau sepenuhnya petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) susulan turut menemukan beberapa wayar kabel dan saluran paip di dalamnya.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India iaitu G Vijaya Lakshmi, 48, pada hari kelapan dijangka akan memfokuskan merungkai ‘back log’ (halangan) yang terdapat dalam saluran pembetung berhampiran Wisma Yakin, di sini.
Pelbagai tindakan, peralatan aset serta teknik pencarian digerakkan ke lokasi dalam usaha mencari mangsa setakat ini namun masih menemui jalan buntu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa dilaporkan berkata, operasi mencari mangsa akan diteruskan sehingga ke suatu masa yang ditetapkan kelak.-KOSMO! ONLINE.