PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyampaikan Amanat Perdana sempena sambutan Hari Kebangsaan pada pukul 5 petang ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Difahamkan, lebih 7,000 tetamu termasuk penjawat awam, pesara, veteran serta badan bukan kerajaan dijangka memeriahkan program itu bertujuan menyemarakkan lagi penghayatan kemerdekaan dalam kalangan rakyat Malaysia terutama generasi baharu.
Pada masa sama, orang ramai juga boleh mengikuti amanat itu yang akan disiarkan secara langsung menerusi semua saluran media tempatan selain di Facebook rasmi Perdana Menteri.
Sementara itu, kemuncak Hari Kebangsaan 2024 bertemakan Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka akan berlangsung di Dataran Putrajaya, esok.
Pelbagai acara menarik bakal disajikan kepada orang ramai termasuk perbarisan dan perarakan melibatkan lebih 17,000 peserta selain 59 kontinjen, 24 pasukan pancaragam dan 439 aset ketenteraan. – KOSMO! ONLINE