fbpx

Pemuda lari dalam hutan merajuk dimarahi abang sesat dua jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MANGSA digendong pasukan penyelamat selepas ditemui di dalam hutan berhampiran rumahnya di Taman Belimbing Harmoni, Melaka, malam tadi.

ALOR GAJAH – Seorang pemuda sesat kira-kira dua jam di dalam hutan di Durian Tunggal dekat sini selepas dikatakan melarikan diri ke kawasan itu gara-gara dimarahi abangnya, malam tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohamad Hamizan Mohd. Husin berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian diterima pada pukul 9.06 malam melalui talian MERS 999.

Katanya, seramai lapan anggota bersama-sama sebuah jentera dan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi.

“Pasukan tiba pada pukul 9.21 malam dan pengadu memaklumkan adiknya berusia 20 tahun yang merupakan pesakit psikiatri telah merajuk lalu melarikan diri ke dalam kawasan hutan berhampiran kediaman mereka di Taman Belimbing Harmoni.

“Operasi pencarian dimulakan dan mangsa berjaya ditemui pada pukul 9.42 malam di kawasan sedikit cerun dalam keadaan melutut di tanah cuba menyembunyikan diri daripada anggota bomba,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Tambahnya, mangsa kemudian berjaya dipujuk dan diangkat secara digendong oleh pasukan penyelamat ke EMRS untuk diberikan rawatan awal.

“Difahamkan, mangsa merajuk selepas dimarahi oleh abangnya, namun kita tidak pasti ia berkenaan perkara apa.

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 10.03 malam selepas kita membantu manghantar mangsa ke rumahnya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI