KUALA LUMPUR – Tetap prihatin, pengarah dan penerbit Datuk Yusof Haslam mengakui masih ambil tahu perkembangan anaknya, Syamsul menerusi platform sosial media termasuk isu perceraian dengan isterinya Ira Kazar.
Yusof, 71, berkata walaupun sudah terputus hubungan, dia dan isteri, Datin Patimah Ismail masih memerhatikan anak kesayangan mereka dari jauh selain kasihan melihatnya ke mahkamah sendirian.
“Mustahil tidak tahu, sekarang ini telefon sentiasa di tangan, jadi mestilah kami baca setiap perkembangan berkaitan Syamsul.
“Ada juga rasa kasihan melihat dia perlu hadir ke mahkamah. Tetapi bagaimana nak beri sokongan sebab hubungan kami tak baik. Apakan daya hubungan telah terputus.
“Kami hanya mampu doa yang terbaik buat Syamsul dan semoga dia kuat berdepan cabaran kali ini. Semoga apa yang berlaku dijadikan satu pengajaran,” katanya kepada Kosmo! Online.
Dalam pada itu, Yusof juga menegaskan isterinya tidak pernah bertepuk tangan apabila mendapat tahu rumah tangga anaknya sedang bergolak malah enggan sama sekali ikut campur tangan
“Saya tak boleh nak cakap isteri suka mereka bercerai. Isteri saya tidak cakap ya atau tidak. Tidak adil untuk kami doakan perpisahan mereka.
“Kalau ada yang kata mereka berpisah sebab tidak mendapat restu, saya boleh katakan jodoh Allah tentukan.
“Jujurnya, kami bagaikan hilang kata-kata. Saya juga tidak mahu apa sahaja yang diperkatakan akan disalah erti,” ujarnya pada majlis doa selamat meraikan filem Sheriff: Narko Integriti, semalam.
Berharap empunya diri ‘memulakan’ sesuatu, pengarah filem Sembilu itu hanya inginkan kedamaian serta tidak pernah menyimpan dendam.
“Kami rindukan anak tetapi dalam mencari kedamaian, tuan punya diri harus mulakan. Apa yang dirasakan, kami simpan sahaja. Tidak pernah marah atau dendam.
“Dalam usia begini saya hanya mahukan kedamaian, namun mungkin tidak berlaku pada saya. Ini adalah ujian dalam hidup,” luahnya.
Pada 19 Ogos lalu Syamsul memfailkan cerai terhadap Ira yang juga anak kepada pelakon Kazar Saisi.
Sebutan pertama perceraian mereka berlangsung pada 27 Ogos lalu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dan ketika itu peguam memaklumkan Syamsul sedia melafazkan talak.
Bagaimanapun kedua-dua mereka tidak hadir pada hari berkenaan dan perbicaraan semula ditetapkan pada 25 September ini.
Syamsul dan Ira bernikah pada 6 Januari 2023 di Selatan Thailand. – KOSMO! ONLINE