KUALA LUMPUR – Keluarga bekas model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu telah memfailkan permohonan agar penganalisis politik, Abdul Razak Baginda diisytiharkan muflis selepas gagal membayar ganti rugi termasuk faedah berjumlah hampir RM9.25 juta.
Permohonan kebankrapan tersebut difailkan pada 4 Julai lalu di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Jumlah tersebut membabitkan jumlah ganti rugi RM5 juta, faedah lima peratus yang dikira dari tarikh saman difailkan sehingga tarik notis kebankrapan difailkan berjumlah RM4,248,282.06 dan kos sebanyak RM25,000.
Pada 16 Disember 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memerintahkan kesemua defendan secara bersama membayar ganti rugi berjumlah RM5 juta kepada keluarga mendiang dan kos sebanyak RM25,000 selepas didapati bertanggungjawab atas kematian wanita itu.
Selain Abdul Razak, turut dinamakan sebagai defendan dalam kes saman itu ialah dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar dan kerajaan Malaysia.
Bagaimanapun, Abdul Razak pada 15 Ogos lalu telah memfailkan permohonan untuk menggantung prosiding kebankrapan tersebut sehingga rayuannya berhubung keputusan Mahkamah Tinggi terdahulu didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.
Pada 9 dan 10 Januari 2023, pihak kerajaan dan penganalisis politik, Abdul Razak masing-masing memfailkan notis rayuan mereka selepas tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut.
Saman tersebut difailkan oleh ibu bapa Altantuya, Dr. Shaariibuu Setev; ibunya, Altantsetseg Sanjaa serta dua anak lelaki Altantuya, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan tuntutan saman pada 4 Jun 2007.
Mereka menamakan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Sirul Azhar, selain penganalisis politik, Abdul Razak dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Bagaimanapun, nama Altanshagai Munkhtulga dikeluarkan daripada senarai plaintif berikutan meninggal dunia pada 2017.
Keluarga itu mendakwa, kematian ahli keluarga pada 2006 itu menyebabkan mereka mengalami trauma mental dan psikologi, selain melayakkan mereka dibayar pampasan serta mendapat ganti rugi teladan dan teruk.
Seramai 26 saksi plaintif termasuk bapa Altantuya dan anak sulungnya, Bayarkhuu memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula pada 2019. Kerajaan pula mengemukakan tiga saksi, manakala Abdul Razak memilih untuk tidak memberi keterangan.
Defendan iaitu kerajaan mengemukakan tiga saksi dan Abdul Razak memilih tidak memberi keterangan bagi menjawab tuntutan saman terbabit.
Sirul Azhar kini ditahan di pusat tahanan imigresen Australia, manakala Azilah di Penjara Kajang, menunggu hukuman mati. – KOSMO! ONLINE