PETALING JAYA – Eatzy Bites pengeluar dan pemasar bagi snek berjenama Popyummy, menyasarkan untuk memasuki pasaran antarabangsa seperti Singapura, Hong Kong, Cambodia dan China dengan memanfaatkan sijil halal yang diperolehnya.
Menurut Pengasas Eatzy Bites, Sofea Chan Abdullah, meskipun syarikat memiliki sijil halal di bawah Skim Kotej tetapi ia tidak menghalang niat dan usaha beliau untuk mempromosikan produk halal Malaysia ke pasaran global.
Menurut beliau, syarikat bakal merealisasikan misi tesebut melalui pemasaran rentas sempadan.
“Sijil halal yang kami peroleh daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada tahun 2022 adalah melalui anjuran Program Pensijilan Halal daripada agensi kerajaan.
“Walaupun kategori sijil halal kami adalah di bawah Skim Kotej yang hanya sah selama dua tahun, namun prosesnya adalah sama seperti permohonan lain.
“Cabaran yang perlu dihadapinya apabila mempunyai sijil halal melalui skim itu adalah untuk memenuhi syarat yang telah ditetapkan ketika mahu memperbaharui sijil berkenaan, selain perlu mematuhi Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia 2020 (MPPHM 2020) yang turut mempunyai garis panduan tambahan,” katanya dalam satu temubual di sini baru-baru ini.
Sofea Chan bersyukur kerana pihaknya mampu untuk mengharungi cabaran tersebut dan dipermudahkan segala urusan.
Tambah beliau, sijil halal sangat membantu syarikatnya terutamanya dari segi pemasaran produk.
“Dengan adanya sijil tersebut, ia membantu meyakinkan pelanggan terhadap produk kami dengan konsep Halalan Toyyiban.
“Selain itu, pensijilan halal juga telah membantu kami meluaskan pasaran terutama mengakses ke pasaran yang lebih besar seperti rangkaian runcit dan juga ke peringkat global.
“Ini kerana, kebanyakan pasaran tempatan mensyaratkan sijil halal untuk memasuki rangkaian mereka,” jelas beliau.
Menjelas lanjut, Sofea Chan memaklumkan, produknya kini boleh didapati di emart, Sogo, Pasar Besar Central Market, Gembox dan beberapa stesen minyak milik Petronas terpilih.
Selain itu, produk Eatzy Bites juga boleh didapati melalui platform online seperti Agrobazar Online, Desamall, Halal Food Master, Shopee, Lazada dan Tiktok. -KOSMO! ONLINE